Sukan SEA: Pearly-Thinaah Raih Emas, Aaron-Wooi Yik Kutip Perak

December 14, 2025
Badminton

Hafiz Omar

Acara badminton individu di Sukan SEA Thailand 2025 menutup tirainya dengan beregu wanita negara, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan merangkul kilauan pingat emas.

Ia merupakan kilauan emas pertama selepas sedekad dalam kategori beregu wanita oleh kontinjen negara di pentas Sukan SEA – selepas dimenangi oleh Amelia Alicia Anscelly dan Soong Fie Cho di Sukan SEA Singapura 2015.

Pasangan No.2 dunia itu membutirkan emas selepas bertarung hebat menumbangkan pasangan Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma dan Meilysa Trias Puspitasari.

Pearly-Thinaah terpaksa bertarung selama hampir satu jam dan setengah sebelum menoktahkannya menerusi skor tiga set 21-16, 19-21 dan 21-17.

Sementara itu, sepasang lagi wakil negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik terpaksa akur membawa pulang pingat perak dalam kategori beregu lelaki selepas tumpas di tangan Sabar Karyaman dan Moh Reza Pahlevi Isfahani juga dari Indonesia.

Aaron-Wooi Yik tewas menerusi skor 14-21 dan 17-21 dalam masa 45 minit.

Featured Image: Facebook Tengku Zafrul

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd