AFC Rancang Pengenalan Liga Negara-Negara

December 22, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Skuad-skuad bola sepak kebangsaan di benua asia bakal bertarung dalam satu kejohanan seumpama Liga Negara-Negara UEFA dalam tempoh masa akan datang.

Perkara tersebut hadir susulan badan induk, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengumumkan secara prinsipnya bersetuju untuk memperkenalkan Liga Negara-Negara AFC menerusi satu kenyataan yang diterbitkan pada Ahad.

Pengenalan pertandingan itu merupakan sebahagian daripada usaha AFC bagi mempertingkatkan peluang pembangunan bagi Negara Anggotanya (MA) dan membina rangka kerja perlawanan antarabangsa yang lebih tersusun dan mampan.

Jelas AFC, cabaran untuk menggunakan Jendela Perlawanan Antarabangsa FIFA secara efektif semakin mencabar berikutan ketersediaan pasukan lawan yang terhad, peningkatan kos dan kerumitan logistik – sering menjejaskan nilai sukan bagi perlawanan antarabangsa.

Justeru, AFC meletakkan tujuan bagi pertandingan ini bagi memastikan perlawanan bola sepak yang bermakna semasa Jendela Perlawanan Antarabangsa FIFA, mempromosi keseimbangan kompetitif menerusi perlawanan yang setaraf, meningkatkan kecekapan kos melalui koordinasi berpusat dan menyediakan lalulan kemajuan yang jelas bagi Skuad-Skuad Kebangsaan.

Bagaimanapun, butiran lanjut mengenai format pertandingan, jangka masa dan pelaksanaannya belum diketahui setakat ini. AFC berkata akan mengumumkannya dalam masa yang sesuai selepas mempertimbangkannya menerusi Jawatankuasa AFC yang berkaitan serta rundingan dengan pemegang taruh.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd