Man Utd Tewas Di Tangan Aston Villa, Mungkin Hilang Khidmat Fernandes
Hafiz Omar
Selepas tewas 1-2 di tangan Aston Villa, penghuni tangga ketujuh Premier League iaitu Manchester United (Man Utd) berkemungkinan hilang khidmat kaptennya, Bruno Fernandes dalam beberapa perlawanan akan datang.
Ini berikutan pemain tengah berusia 31 tahun berkenaan mengalami kecederaan ketika turun bertemu skuad berjulukan The Villans di Villa Park, awal pagi tadi (waktu Malaysia).
Dalam aksi tersebut, Fernandes bermula dalam kesebelasan utama namun digantikan dengan Lisandro Martinez oleh pengurus, Ruben Amorim ketika separuh masa kedua selepas mengalami ketidakselesaan pada kaki kanannya di penghujung separuh masa pertama.
“Saya rasa ia (kecederaan) tisu lembut,” kata Amorim kepada Sky Sports sepertimana dikongsikan oleh laman sesawang rasmi Man Utd.
Tidak lama kemudian, dalam sidang media selepas perlawanan, Amorim percaya Fernandes akan terlepas beberapa perlawanan Man Utd yang mendatang.
“Saya tidak tahu, saya fikir dia akan terlepas beberapa perlawanan, tetapi saya tidak pasti mengenainya,” katanya lagi sambil tidak mahu mengulas panjang mengenai perkara tersebut.
Pada masa yang sama, Amorim mengakui Man Utd mengalami banyak masalah terutamanya melibatkan isu kecederaan bagi tempoh ini namun bertekad akan menanganinya.
Terdahulu, Amorim hilang khidmat Kobbie Mainoo menjelang aksi bertemu Aston Villa berikutan ditimpa kecederaan kecil – sehari sebelum perlawanan.
Selepas ini, Man Utd berhadapan jadual padat bertemu Newcastle United (27 Disember), Wolverhampton Wanderers (31 Disember) dan Leeds United (4 Januari) dalam masa lapan hari.
Featured Image: Manchester United