FAM Buat Laporan Polis Berkenaan Isu Pemain Warisan

December 22, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memaklumkan akan membuat satu laporan polis berkenaan isu pemain warisan skuad kebangsaan berjulukan Harimau Malaya sepertimana disyorkan oleh Jawatankuasa Siasatan Bebas (IIC).

Laporan polis itu disyorkan oleh IIC bagi membolehkan siasatan penuh dijalankan.

Keputusan itu dicapai oleh FAM setelah Jawatankuasa Eksekutif mengadakan mesyuarat khas kali keempat bagi penggal 2025-2029 di Wisma FAM, Kelana Jaya, dipengerusikan oleh Pemangku Presiden, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi, pada hari ini.

Terdahulu, mesyuarat itu diadakan bagi membincangkan hasil laporan daripada IIC dipengerusikan oleh Tun Md Raus Sharif yang telah mengenal pasti dua isu utama. 

Pertamanya adalah pemberian kewarganegaraan Malaysia dan keduanya, pemalsuan atau penipuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan baharu skuad kebangsaan.

Dalam mesyuarat itu juga, FAM turut menyatakan komitmen untuk melakukan penambahbaikan dalam tadbir urus pendaftaran pemain warisan dan memastikan isu kecuaian dan pemalsuan dokumen tidak berulang.

Featured Image: FAM

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd