Terengganu FC Buka ‘Merchandise Store’ Di Lapangan Terbang – Tarik Pelancong Dalam & Luar Negara
Hafiz Omar
Kelab berpangkalan di pantai timur, Terengganu FC melancarkan pembukaan kedai barangan rasmi (merchandise store) terbaharu di Lapangan Terbang Sultan Mahmud pada hari ini.
Kedai yang menawarkan pelbagai barangan rasmi dan eksklusif Terengganu FC seperti jersi, topi, mafla, aksesori serta cenderamata edisi khas itu terletak di Tingkat 1 lapangan terbang berkenaan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Terengganu FC, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed Al-Bajrai berkata pembukaan kedai rasmi di lapangan terbang merupakan langkah strategik bagi meningkatkan keterlihatan jenama kelab serta memudahkan penyokong mendapatkan barangan rasmi.



“Lapangan terbang merupakan pintu masuk utama ke Terengganu dan lokasi ini memberi peluang kepada Terengganu FC untuk mendekati penyokong serta pelancong dari dalam dan luar negara disamping menyumbang kepada penjanaan pendapatan kelab,” katanya.
Majlis pelancaran kedai cenderahati rasmi itu disempurnakan oleh YB Hishamuddin Abdul Karim yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah Terengganu FC.
Turut sama memeriahkan pembukaan kedai cenderahati berkenaan adalah para pemain dan pegawai Terengganu FC.
Dimaklumkan, kedai terbabit akan beroperasi setiap hari bermula 7 pagi. Menariknya, Terengganu FC turut memaklumkan penawaran perkhidmatan pembelian secara dalam talian dengan pilihan pengambilan barangan di kedai yang terletak lapangan terbang tersebut.
Featured Image: Terengganu FC