KL City, Kuching City Buat Perhitungan Rebut Posisi Kedua Liga Super
Hafiz Omar
Kelab berpangkalan di ibu negara tanah air, Kuala Lumpur City FC (KL City) dan Kuching City FC (Kuching City) dari kepulauan Borneo akan membuat perhitungan untuk merebut posisi kedua Liga Super.
Kedua-dua kelab berkenaan akan bertembung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada malam esok (24hb) untuk aksi minggu ke-13 Liga Super.
Pada saat ini, Kuching City dan KL City berada di tangga kedua dan ketiga liga masing-masing namun berkongsi 24 mata yang sama selepas mengharungi 11 perlawanan bagi musim ini.
Tonggak KL City, Kenny Pallraj menyifatkan skuad kendalian Aidil Sharin Sahak semakin hebat memberikan tekanan. Lebih-lebih lagi selepas skuad berjulukan The Cats itu merampas posisi kedua liga selepas KL City seri 1-1 dengan Negeri Sembilan FC, tempoh hari.
Oleh demikian, Kenny menyatakan KL City tidak boleh berasa selesa kerana pencabar mereka menunjukkan peningkatan prestasi yang konsisten dalam beberapa perlawanan yang lepas.
Tambahan pula, kedua-dua kelab ini hanya dibezakan dengan jumlah jaringan sahaja bahkan ianya lebih memihak kepada Kuching City.

Pada masa yang sama, Kenny turut mengingatkan rakan sepasukannya tidak melakukan kesilapan yang sama sepertimana di Stadium Tuanku Abdul Rahman – membiarkan pasukan lawan bangkit untuk menyamakan kedudukan khususnya pada minit-minit akhir permainan – sekaligus terpaksa akur membawa pulang satu mata sahaja.
“Kalau kita tengok aksi dengan Negeri Sembilan, mereka datang dengan impak yang lebih tinggi pada separuh masa kedua walaupun awalnya kita mendahului.”
“Kita dapat banyak peluang sebenarnya tapi tak manfaatkan peluang itu sebetulnya, dan akhirnya kita seri 1-1.”
“Jadi, benda macam ini tidak boleh jadi lagi, kita kena buat yang lebih baik sebab bermain di laman sendiri dan kalau boleh kita nak habiskan pusingan pertama Liga Super ini dengan kembali berada di tangga kedua,” jelasnya.
Menariknya, selepas mengharungi 11 perlawanan, KL City dan Kuching City bukan sahaja berkongsi mata bahkan turut berkongsi rekod kekalahan iaitu sekali sahaja ketika bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT).
Untuk makluman, sepak mula pertembungan merebut posisi kedua ini dijadualkan pada jam 8.15 malam dan turut disiarkan secara langsung menerusi saluran Arena Bola (Astro CH803), Astro Go dan Sooka.
Featured Image: Kuala Lumpur City & Kuching City FC