Elysha Terima RM32,000 Hasil Kutip 4 Emas, 1 Gangsa Di AYPG 2025
Hafiz Omar

Atlet renang para, Elysha Cheong Hui Yin menerima ganjaran berupa wang tunai sebanyak RM32,000 hasil mengutip empat keping pingat emas dan sebutir pingat gangsa di Sukan Remaja Para Asia (AYPG) 2025, baru-baru ini.
Temasya yang berlangsung di Dubai dari 7hb hingga 14hb Disember itu menyaksikan Elysha meraih empat emas dalam acara 400m bebas (S10), 100m bebas (S10), 100m kupu-kupu (S8-S10) dan 100m kuak dada (SB9).
Manakala pingat gangsa pula diraihnya dalam acara 200m individual medley.
Insentif ganjaran wang tunai itu merupakan sebahagian daripada tajaan oleh Chery Malaysia dimana setiap butir pingat emas, perak dan gangsa diberikan wang tunai bernilai RM7500, RM4000 dan RM2000 masing-masing.

Sementara itu, seorang lagi atlet para, Wahyu Eqwal Nazrey menerima ganjaran sebanyak RM30,500 selepas mengutip tiga pingat emas dan dua pingat gangsa.
Wahyu yang turut beraksi dalam sukan renang para meraih pingat-pingat tersebut dalam acara 50m kuak lentang (S1-S5), 100m bebas (S5), 50m bebas (S5), 50m kupu-kupu (S2-S7) dan 200m individual medley.

Atlet-atlet lain yang meraih pingat emas, perak dan gangsa daripada temasya berkenaan turut menerima ganjaran masing-masing dalam majlis yang berlangsung di Dewan Banquet Casa 4, Majlis Sukan Negara (MSN) tengah hari tadi.
Insentif kemenangan itu disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Dr. Mohammed Taufiq dan Naib Presiden Eksekutif Chery Malaysia, Men Lin Bo sambil disaksikan oleh Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Dato’ Sri Megat D. Shahriman.
Secara keseluruhannya, Kontinjen Malaysia yang dianggotai 29 orang atlet dengan mengambil bahagian dalam lapan jenis sukan berjaya merangkul 14 pingat emas, 12 pingat perak dan 13 pingat gangsa.