Nurillo Sertai FC Dinamo Samarqand
Hafiz Omar
Teka-teki mengenai hala tuju pemain tengah, Nurillo Tukhtasinov terjawab tidak sampai 24 jam selepas pemain tersebut berpisah dengan Terengganu FC, pada malam tadi.
Ianya terjawab selepas FC Dinamo Samarqand yang menghuni tangga keempat Liga Super Uzbekistan mengumumkan pemain berusia 28 tahun berkenaan sebagai pemain baharunya.
Nurillo diperkenalkan menerusi satu hantaran di akaun media sosialnya, petang tadi, dengan mengepilkan sekeping foto Nurillo sedang menandatangani dokumen sambil latar belakangnya dihiasi logo kelab berkenaan.
View this post on Instagram
“Dinamo PFC berbesar hati untuk mengumumkan menandatangani kontrak bersama Nurillo Tuktasinov, seorang pemain yang cukup dikenali oleh para peminat berikutan prestasinya di kelab Liga Super, skuad Olimpik Uzbekistan dan Terengganu FC di Malaysia.”
Kelab berkenaan juga memaklumkan mendapatkan khidmat Nurillo dengan status pemain ejen bebas – berikutan kontraknya bersama Terengganu FC tamat pada bulan ini.
Dalam satu hantaran yang lain, FC Dinamo Samarqand turut memuat naik video pendek yang memaparkan aksi-aksi Nurillo bersama Terengganu FC.
Featured Image: FC Dinamo Samarqand