Terengganu FC Namakan Tengku Hazman Sebagai Ketua Jurulatih ‘Interim’

December 26, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Kelab berpangkalan di pantai timur, Terengganu FC mendapat ketua jurulatih baharu dua hari selepas tewas 1-3 kepada Sabah FC dalam aksi ke-13 Liga Super.

Menerus satu kenyataan media pada Khamis, pihak kelab menamakan penolong jurulatihnya, Tengku Hazman Raja Hassan sebagai ketua jurulatih “interim” (sementara).

Dimaklumkan, Tengku Hazman akan mengemudi kelab yang menghuni tangga kelima Liga Super berkenaan sehingga pengumuman ketua jurulatih baharu secara rasmi kelak.

Pelantikan Tengku Hazman hadir susulan Jawatankuasa Teknikal serta Ahli Lembaga Pengarah kelab memutuskan untuk merehatkan ketua jurulatihnya, Badrul Afzan Razali berkuat kuasa serta-merta.

Sepanjang musim ini, Badrul telah mengendalikan 16 perlawanan buat Terengganu FC dan merekodkan 7 kemenangan, 3 keputusan seri dan 6 kali tewas.

Selain berada di tangga kelima liga, Terengganu FC turut terkandas di peringkat suku akhir Piala FA 2025-2026.

Featured Image: Terengganu FC

 

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd