Ong Kim Swee Isi Jawatan Pengarah Teknikal NFDP
Hafiz Omar
Datuk Ong Kim Swee yang menabur bakti dalam kancah bola sepak Indonesia sebelum ini diumumkan sebagai Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) yang baharu.
Kim Swee yang membimbing Persis Solo (November 2024 – Jun 2025) dan Persik Kediri (Jun – November 2025) dilantik untuk menjawat jawatan itu berkuat kuasa 1hb Disember 2025 menggantikan Oscar Francisco Fernandez.
Perkara tersebut diumumkan sendiri oleh Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi dalam sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya pada 22hb Disember (Isnin), demikian makluman oleh badan induk itu menerusi satu kenyataan media.
View this post on Instagram
“Keputusan untuk melantik Kim Swee bagi mengisi jawatan tersebut terdahulu telah pun dibuat oleh Jawatankuasa Teknikal NFDP yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden FAM, Dato’ S. Sivasundaram selaku Pengerusi Jawatankuasa Teknikal & Pembangunan FAM bersama dengan Majlis Sukan Negara (MSN).” tulis kenyataan FAM.
FAM menjelaskan, jurulatih berusia 55 tahun berkenaan dilihat sebagai calon paling sesuai untuk mengisi jawatan itu berdasarkan reputasi dan pengalaman luas sebagai jurulatih di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) serta peneraju utama skuad Harimau Muda dan kemuncaknya sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya.
Selain itu, Kim Swee yang kini merupakan Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM) pernah menggalas tugas sebagai Ketua Unit Belia FAM, Penolong Pengarah Teknikal FAM, Pengarah Teknikal FAM.
“Diharapkan Kim Swee dapat memainkan peranan penting dalam pembangunan bola sepak negara selaku peneraju baharu NFDP dengan perancangan dan pelaksanaan program-program yang lebih berkesan bagi memulihkan kembali kekuatan bola sepak negara di peringkat akar umbi.” tambah kenyataan FAM.