Jovan Motika Kekal Di Negeri Sembilan FC
Hafiz Omar
Pemain sayap kelahiran Bosnia dan Herzegovina yang telah meledak lapan gol sepanjang musim ini, Jovan Motika kekal bersama Negeri Sembilan FC.
Terdahulu, penyokong dan peminat skuad berjulukan The Jang tertanya-tanya akan status pemain berusia 27 tahun berkenaan. Ini susulan Motika memuat naik ‘Instagram Stories’ berserta kapsyen ringkas yang membawa maksud ‘aksi terakhir’.
Desas-desus pemain terbabit untuk meninggalkan kelab semakin memuncak apabila Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Negeri Sembilan FC, Faliq Firdaus turut meninggalkan komen terhadap hantaran yang dilakukan oleh akaun peminat, 433 Malaysia, mengucapkan terima kasih kepada Motika atas usahanya dalam aksi pada Rabu lalu.

Namun begitu, keberadaan Motika bersama Negeri Sembilan FC menjadi jelas apabila Faliq menjelaskan bahawa kapsyen itu merujuk kepada aksi terakhirnya bagi tahun 2025.
Faliq menjelaskan perkara tersebut dengan membalas pertanyaan peminat, @thelionrayyan di akaun X (dahulu dikenali sebagai Twitter) rasminya.
Pada masa yang sama, sepertimana dikongsikan pihak pengurusan sebelum ini, Negeri Sembilan FC tidak menolak untuk menandatangani pemain-pemain baharu termasuk pemain import pada jendela perpindahan yang akan dibuka bermula 5hb Januari hingga 1hb Februari kelak.
Kemasukan pemain-pemain adalah untuk menambah baik skuad bimbingan Nidzam Jamil khususnya untuk mengharungi pusingan kedua Liga Super 2025-26.
Featured Image: Negeri Sembilan FC