Liga Wanita Nasional Musim Depan Mula April 2026
Hafiz Omar
Pertandingan terulung bola sepak wanita tanah air, Liga Wanita Nasional (LWN) 2026 akan membuka tirainya bermula April kelak, demikian makluman oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Perkara tersebut diumumkan sendiri oleh Unit Bola Sepak Wanita FAM selepas berakhirnya saingan LWN 2025 yang menyaksikan Sabah FA muncul juara dengan kutipan 37 mata selepas mengharungi 14 perlawanan.
Bagaimanapun, skuad bimbingan Bobby Gonzales itu terlepas peluang untuk menamatkan kempen musim ini dengan gelaran “invisible” atau tanpa kalah apabila tewas 0-1 dalam aksi terakhir bertemu Selangor FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Ahad.
Dalam pertemuan itu, Sabah FA tewas tipis berpunca daripada jaringan oleh Nur Ainsyah Murad pada minit ke-19.

Sementara itu, Selangor FC mengesahkan gelaran naib juara LWN 2025 dengan kutipan 34 mata.
Terdahulu, Sabah FA telah pun mengesahkan gelaran juara apabila mencatatkan kemenangan 4-2 ke atas MBSJ FC pada aksi ke-13 yang berlangsung di Stadium Likas, seminggu yang lalu.
Hasil bergelar juara pada edisi kali ini, Sabah FA meraih ganjaran berupa wang tunai sebanyak RM80,000. Selangor FC selaku naib juara pula menerima RM50,000.
Selaku juara LWN 2025, FAM turut mencalonkan Sabah FA untuk mewakili Malaysia beraksi di pentas antarabangsa, Liga Juara-Juara AFC Wanita (AWCL).
Featured Image: Sabah Football Association Women’s Team