Penjelasan Kelantan Red Warriors FC Dikenakan Sekatan FIFA

December 29, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Kelab berpangkalan di pantai timur, Kelantan Red Warrior FC (KRWFC) mengesahkan dikenakan sekatan pendaftaran atau perpindahan pemain oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sejak 19hb Disember.

Menerusi satu kenyataan media yang disiarkan oleh pihak kelab pada hari ini, KRWFC menjelaskan sekatan itu dikenakan berikutan laporan dan tuntutan daripada Pol Corpas yang berkhidmat dengan Kelantan FC yang turut dijuluki sebagai “The Red Warriors (TRW)” milik Norizam Tukiman pada musim 2022-23.

Berikutan hal itu, perancangan penghuni tangga kelapan Liga A1 Semi-Pro itu untuk mendaftarkan pemain baharu bagi memperkukuhkan skuad menghadapi baki kempen musim ini tergendala.

“Kami menafikan sekeras-kerasnya keterlibatan dengan mana-mana kelab sebelum dimana pada awal musim tempoh hari, kami telah memberi penjelasan rasmi kepada FIFA dan telah diterima sehingga kami boleh mendaftarkan pemain untuk beraksi pada musim ini.” tulis kelab bimbingan Irfan Bakti itu.

“Isu ini timbul semula selepas kami cuba mendaftarkan pemain import baharu sempena perpindahan kedua yang telah dibuka,” ulas pihak kelab itu lagi.

Dalam kenyataan itu juga, pihak pengurusan menjelaskan KRWFC ditubuhkan pada tahun 2024 dan tidak terbabit dengan permasalahan melibatkan Pol Corpas dan bekas kelabnya.

Tambahan pula, bermula Ogos 2025, KRWFC kini diterajui dan dikendalikan oleh pihak pengurusan yang baharu – mengambil alih daripada pihak pengurusan terdahulu yang mengasaskan KRWFC.

“Perkara ini menunjukkan bahawa pentadbiran kelab adalah 100% berbeza serta tidak terbabit dengan kelab yang menjadi punca kepada laporan Pol Corpas.” ujar pihak kelab itu lagi.

Oleh demikian, KRWFC memohon agar Pol Corpas membuat tuntutan dengan pihak pengurusan bekas kelabnya yang masih wujud sehingga ke hari ini.

Featured Image: Kelantan Red Warrior FC

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd