Persekutuan Renang Malaysia, Eric Anderson Berpisah Selepas 31 Disember
Hafiz Omar
Badan induk iaitu Persekutuan Renang Malaysia (MAS) dan ketua jurulatih renang kebangsaan, Eric Anderson bakal membawa haluan masing-masing bermula 1hb Januari kelak.
Perkembangan itu hadir selepas MAS menyiarkan satu kenyataan media memaklumkan pihaknya dan Eric mencapai persetujuan untuk menamatkan kerjasama pada 31hb Disember 2025 selepas berakhirnya kitaran Sukan SEA 2025.
“MAS merakamkan penghargaan kepada Eric atas sumbangan dan khidmatnya kepada (sukan) akuatik Malaysia dan mengucapkan mendoakan yang terbaik dalam segala usahanya di masa akan datang.” tulis kenyataan yang dikongsikan sekitar jam 9 pagi tadi.
Susulan daripada perpisahan dengan ketua jurulatihnya itu, sebagai langkah peralihan, MAS memaklumkan pelaksanaan pengaturan program peralihan sementara bagi memastikan kesinambungan, kestabilan dan kebajikan atlet.
“Segala maklumat lanjut berhubung program renang kebangsaan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.” tambah kenyataan itu lagi.
Sukan SEA Ke-35 yang berlangsung di Thailand baru-baru ini menyaksikan skuad renang negara di bawah bimbingan Eric mengutip dua pingat emas, tiga perak dan lima gangsa.
Kutipan pingat itu mengatasi pencapaian skuad renang negara di Sukan SEA Kemboja 2023 yang meraih satu pingat emas, tiga perak dan empat gangsa.
Untuk makluman, Eric yang pernah membimbing skuad renang Denmark memulakan tugasnya sebagai ketua jurulatih kebangsaan pada Februari tahun lalu.