Terbuka Malaysia: Pemenang Emas Olimpik Tarik Diri, Zii Jia Lawan Pemain Muda India
Hafiz Omar
Pemenang pingat emas Sukan Olimpik sebanyak dua kali, Viktor Axelsen tidak akan berentap di kejohanan badminton Terbuka Malaysia 2026 yang akan berlangsung dari 6hb hingga 11hb Januari kelak di Axiata Arena.
Menerusi laman sesawang rasmi kejohanan, nama pemain dari Denmark yang bakal menginjak usia 32 tahun dalam masa beberapa hari lagi itu mengisi senarai menarik diri bersama-sama empat lagi yang lain.
Antara lain yang berada dalam senarai itu adalah Li Shi Feng (China), Jeon Hyeok-jin (Republik Korea), Jonathan Matias (Brazil) dan Donnians Oliveira (Brazil).
Sementara itu, bekas perseorangan lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia dilihat berada dalam babak undian utama. Pemain berusia 27 tahun itu diundi bertemu Ayush Shetty dari India pada pusingan 32.
Jika turun kelak, ianya bakal menjadi penampilan pertama Zii Jia selepas berehat sejak sekitar September lalu.
Sementara itu, seorang lagi pemain negara, Leong Jun Hao pula bakal memulakan kempen Terbuka Malaysia 2026 dengan bertemu Wang Zheng Xing dari China pada peringkat yang sama.