Terbuka Malaysia: Tang Jie-Ee Wei Bertemu Pasangan No.1 Indonesia
Hafiz Omar
Juara dunia merangkap beregu campuran No.1 tanah air, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei akan memulakan kempen Terbuka Malaysia 2026 bertemu wakil Indonesia, Jafar Hidayatullah dan Felisha Pasaribu.
Pertemuan itu terhasil selepas selesainya undian bagi kejohanan bertaraf Super 1000 pada hari ini sekaligus mengulangi pertemuan peringkat Kumpulan B di Jelajah Dunia Akhir BWF 2025 sekitar tiga minggu lalu.
Dalam aksi tersebut, Tang Jie-Ee Wei berjaya menumpaskan pasangan No.1 Indonesia itu bertarung tiga set permainan dan menoktahkannya menerusi skor 17-21, 21-14 dan 21-15 dalam masa satu jam dan lima minit.
Itu merupakan kemenangan keenam daripada enam pertemuan dengan Jafar-Felisha di pelbagai kejohanan peringkat antarabangsa.
Pada edisi lalu, perjalanan Tan Jie-Ee Wei terhenti di peringkat separuh akhir selepas tewas di tangan Feng Yan Zhe dan Huang Dong Ping dua set berturut-turut; 19-21 dan 14-21.
Featured Image: BAM