Yeoh Kay Bin Tak Sambung Kontrak Bersama Team LZJ

December 31, 2025
Badminton

Hafiz Omar

Bekas perseorangan lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia akan berpisah dengan ketua jurulatihnya iaitu Yeoh Kay Bin pada tahun 2026.

Ini selepas pasukannya, Team LZJ menerusi satu kenyataan mengesahkan Kay Bin tidak melanjutkan kontraknya atas alasan untuk memburu cabaran baharu pada tahun berikutnya.

Dalam kenyataan itu juga, Zii Jia memahami keinginan Kay Bin untuk memburu cabaran lain dan mendoakan yang terbaik buat jurulatihnya itu. 

“Tiada ada apa ingin saya perkatakan selain hormat yang tinggi kepada Coach Kay Bin yang telah berada di sisi saya sepanjang tahun ini, saya telah belajar perkara baharu daripadanya dan saya sendiri kecewa kerana tidak mendapat peluang untuk mempamerkan apa yang dilakukan di dalam latihan.” kata pemain berusia 27 tahun berkenaan.

Bagaimanapun, kelibat Kay Bin akan terus kelihatan di saingan Terbuka Malaysia 2026. Ini kerana jurulatih berusia 45 tahun tersebut bersetuju untuk berada di penjuru gelanggang ketika mana Zii Jia bertarung di kejohanan bertaraf Super 1000 itu nanti.

Sebagai rekod, Kay Bin diumumkan sebagai ketua jurulatih bagi Team LZJ pada hujung Disember tahun lalu bagi menggantikan kekosongan yang ditinggalkan oleh Wong Tat Meng.

Dalam kenyataan yang sama, pihak kelabnya turut memaklumkan bekas pemain kebangsaan, Liew Daren bersetuju untuk kembali bersama Team LZJ atas kapasiti mengisi barisan kejurulatihan.

Featured Image: OCM

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd