Padang SNBJ Dapat Penarafan Cemerlang FIFA – Skor 86%

December 31, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Padang bola sepak di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) mendapat penarafan cemerlang daripada badan induk, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Perkembangan itu dikongsikan sendiri oleh badan yang menguruskan stadium berkenaan, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) menerusi hantaran di pelbagai platform media sosialnya.

Hantaran yang turut mengepilkan video berdurasi 30 saat memaparkan keadaan semasa padang itu menyatakan SNBJ telah meraih penarafan cemerlang dengan skor 86% di bawah Program Kualiti FIFA Permukaan Padang Semula Jadi.

Penarafan itu sekaligus mengesahkan tahap kualiti, keselamatan dan prestasi bertaraf antarabangsa bagi padang yang menggunakan rumput jenis Zeon Zoysia terbabit.

Untuk makluman, SNBJ beralih kepada rumput semula jadi jenis Zeon Zoysia hasil kurniaan daripada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail merangkap pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT).

Ketika projek penukaran rumput itu dilakukan, kerja-kerja menaik taraf saliran turut dilakukan.

Untuk makluman, Program Kualiti FIFA untuk Permukaan Padang Semula Jadi menyediakan prosedur ujian dan format pelaporan piawai supaya kelab dan penganjur dapat menggunakan kriteria yang sama untuk membandingkan kualiti permukaan padang semula jadi.

 

 

 

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd