Negeri Sembilan FC Kongsi Perancangan Jendela Perpindahan Pertengahan Musim
Hafiz Omar
Kelab yang menghuni tangga keenam Liga Super, Negeri Sembilan FC mempunyai perancangan yang spesifik pada jendela perpindahan pertengahan musim bermula 5hb Januari hingga 1hb Februari kelak.
Menerusi satu kenyataan yang disiarkan pada hari ini, kelab bimbingan Nidzam Jamil itu berhasrat untuk memburu pemain yang berpengalaman dan mempunyai aspek kepimpinan.
Perancangan itu hadir selepas mengambil kira Negeri Sembilan FC menjadi antara pasukan termuda dalam saingan Liga Super musim ini. Namun, pihak pengurusan skuad berjulukan The Jang itu memberi jaminan ianya tidak akan menjejaskan falsafah pembangunan pemain muda yang menjadi teras kelab.
View this post on Instagram
“Pemain-pemain yang akan dibawa masuk dipilih berdasarkan kesesuaian taktikal, tahap profesionalisme serta keupayaan mereka untuk membimbing dan melengkapkan pemain sedia ada.”
“Langkah ini bukan bertujuan untuk menjanjikan perubahan drastik dalam masa singkat, sebaliknya sebagai usaha memperkukuh struktur pasukan dan memastikan kestabilan prestasi bagi baki musim ini dan seterusnya.” jelas pihak pengurusan kelab.
Antara yang bakal menyertai Negeri Sembilan FC pada jendela perpindahan pertengahan musim itu adalah bintang UM-Damansara United yang beraksi dalam kancah Liga A1 Semi-Pro iaitu Anuar Ceesay.

Dimaklumkan, khidmat Anuar yang merupakan pemain kacukan Malaysia-England-Gambia diperoleh Negeri Sembilan FC selepas menebus kontraknya dengan nilai yang tidak didedahkan kepada umum.
Pihak pengurusan kelab turut menekankan bahawa Negeri Sembilan FC sedang melalui fasa pemulihan dan mengambil pendekatan yang realistik dan bertanggungjawab dalam setiap keputusan yang dibuat.
“Keputusan itu juga perlu mengimbangi antara aspirasi penyokong, keperluan prestasi di atas padang serta keupayaan kewangan kelab agar kelangsungan jangka panjang dapat terus dipelihara.” tambah kenyataan itu lagi.