Perak FA, UM-Damansara United & Kelantan Red Warrior FC Raih Slot Piala Malaysia 2025-26

December 31, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Perak FA, UM-Damansara United dan Kelantan Red Warrior FC menjadi tiga kelab daripada kancah Liga A1 Semi-Pro yang meraih tiket ke saingan Piala Malaysia 2025-26.

Perkara tersebut disahkan sendiri oleh penganjur, Malaysian Football League (MFL) ketika berkongsikan tarikh undian bagi edisi ke-99 pertandingan bola sepak terulung tanah air itu.

Perak FA dan UM-Damansara United meraih slot tersebut selepas menamatkan pusingan pertama Liga A1 di tangga kedua dan keempat masing–masing. 

Selangor FC II dan Johor Darul Ta’zim II yang mengungguli carta dan berada di tangga ketiga liga masing-masing tidak layak meraih slot ke Piala Malaysia berikutan statusnya sebagai “feeder club” buat Selangor FC dan Johor Darul Ta’zim yang bersaing dalam kancah Liga Super.

Menariknya, Kelantan Red Warrior FC bimbingan Irfan Bakti yang menghuni tangga ketujuh Liga A1 meraih slot terakhir ke Piala Malaysia kali ini berikutan Kedah FA dan Armed Forces FC yang berada di posisi kelima dan keenam masing-masing menolak slot itu.

Tiga kelab ini bersama-sama 13 kelab Liga Super akan memulakan kempen Piala Malaysia bermula daripada pusingan 16 yang dijadualkan pada 17hb Januari. 

Penganjur memaklumkan majlis undian akan berlangsung pada 2hb Januari 2026 (Jumaat) dan akan disiarkan secara langsung di Astro Arena, Astro Go, Sooka dan Youtube (Astro Arena).

Featured Image: AFL

 

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd