Negeri Sembilan FC Tambah Seorang Lagi Pemain Jepun
Hafiz Omar
Negeri Sembilan FC bimbingan Nidzam Jamil menambah seorang lagi khidmat pemain Jepun dalam skuadnya bagi menghadapi baki saingan Liga Malaysia 2025-26.
Pemain baharu dari negara matahari terbit itu ialah Kei Oshiro yang merupakan seorang pertahanan tengah dengan ketinggian 1.82 meter (m). Kehadiran produk akademi Urawa Reds itu diumumkan Negeri Sembilan FC pada Ahad menerusi pelbagai platform media sosialnya.
Kemasukan pemain berusia 25 tahun itu sebahagian daripada perancangan Negeri Sembilan FC yang ingin mengikat pemain berpengalaman dan mempunyai aspek kepimpinan pada jendela perpindahan pertengahan musim ini – 5hb Januari hingga 1hb Februari.
View this post on Instagram
“Kehadiran Kei Oshiro diharapkan mampu memperkukuhkan benteng pasukan melalui pengalaman, kebijaksanaan taktikal dan kepimpinan di atas padang.” tulis kenyataan kelab.
Untuk makluman, ini merupakan julung kalinya Oshiro berkelana di luar negara kelahirannya sejak bergelar pemain bola sepak profesional. Antara kelab-kelab yang pernah disertainya ialah Urawa Reds, Gainare Tottori, Yokohama SSC dan Ehime FC.
Oshiro menjadi pemain ketiga dari Jepun selepas Takumi Sasaki dan Mio Tsuneyasu yang menyertai Negeri Sembilan FC sejak dipimpin oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Faliq Firdaus.
Featured Image: Negeri Sembilan FC