John Herdman Ganti Patrick Kluivert Kemudi Skuad Kebangsaan Indonesia

January 5, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Kekosongan jawatan ketua jurulatih skuad kebangsaan Indonesia yang ditinggalkan oleh Patrick Kluivert kini diisi oleh John Herdman yang berusia 50 tahun kelahiran England.

Badan induk, Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) mengumumkan pelantikan Herdman menerusi satu kenyataan media yang disiarkan pada , 3hb Januari, Sabtu di laman sesawang rasmi dan platform-platform media sosialnya.

“Herdman bukan sekadar pelatih, melainkan arkitek berpengalaman membawa pasukan ke Piala Dunia,” tulis kenyataan oleh PSSI.

Kenyataan itu merujuk kepada kejayaan Herdman yang pernah membimbing skuad wanita kebangsaan Kanada mara ke Piala Dunia 2007 dan 2011. Selain itu, Herdman turut mengemudi skuad wanita Kanada meraih pingat gangsa dua kali berturut-turut di Sukan Olimpik – edisi 2012 dan 2016 masing-masing. 

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Timnas Indonesia (@timnasindonesia)

Selaku ketua jurulatih skuad lelaki kebangsaan Kanada pula, Herdman menamatkan kemarau 36 tahun kemaraan ke Piala Dunia skuad berjulukan “The Reds” atau “Maple Leaf” dengan melayakkan diri ke Piala Dunia FIFA Qatar 2022. 

Selain itu, Herdman juga menjadi jurulatih yang bertanggungjawab memimpin Kanada merekodkan peningkatan daripada tangga ke-77 ke tangga ke-33 dalam Ranking Dunia.

Sepanjang tahun 2026, tumpuan Herdman bersama skuad berjulukan Garuda terarah kepada FIFA Series di Jakarta, perlawanan antarabangsa pada jendela FIFA bagi Jun, September, Oktober dan November serta Kejohanan ASEAN Piala Hyundai 2026 yang bermula Julai kelak.

Sebagai rekod, khidmat Kluivert yang juga pemain legenda Belanda dihentikan PSSI pada Oktober lalu selepas gagal membawa Indonesia melayakkan diri ke Piala Dunia FIFA 2026.

Featured Image: PSSI

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd