Manchester United Singkir Ruben Amorim Selepas 14 Bulan

January 5, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Jurulatih kelahiran Portugal, Ruben Amorim kini tidak lagi mengendalikan Manchester United – kelab di tangga keenam Premier League (PL).

Ini selepas pihak kelab mengumumkan melepaskan pengendali berusia 40 tahun berkenaan daripada tugasan selaku ketua jurulatih bagi kelab berjulukan Red Devils.

Perkara tersebut diumumkan oleh Manchester United menerusi satu kenyataan media yang mengandungi 106 patah perkataan yang disiarkan di laman sesawang rasmi kelab – kira-kira sehari selepas seri 1-1 bertemu Leeds.

“Dengan Manchester United berada di tangga keenam Liga Perdana, pihak pengurusan kelab dengan berat hati membuat keputusan bahawa sudah tiba masanya untuk melakukan perubahan. Keputusan ini memberikan peluang kepada pasukan menamatkan saingan Liga Perdana setinggi yang boleh.” tulis kenyataan kelab.

Sebagai rekod, Amorim diumumkan sebagai ketua jurulatih Manchester United pada 1hb November 2024 dengan kontrak sehingga Jun 2027 serta pilihan lanjutan selama semusim. Kehadirannya pada ketika itu adalah untuk menggantikan Erik Ten Hag dan Ruud Van Nistelrooy (ketua jurulatih interim).

Pada musim lalu, Manchester United bimbingan Amorim menamatkan musim dengan menghuni tangga ke-15 Liga Perdana, mara ke pusingan kelima Piala FA, suku akhir Piala Liga dan muncul naib juara Liga Europa UEFA (UEL).

Susulan penyingkiran Amorim, Manchester United mengumumkan Darren Fletcher diberikan peranan untuk mengendalikan pasukan menentang Burnley pada Rabu.

Featured Image: Manchester United

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd