Selangor FC Ambil Khidmat Bekas Ketua Jurulatih Harimau Malaya

January 5, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Kim Pan-gon yang meletakkan jawatan sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan pada pertengahan Julai 2024 kini kembali semula ke Malaysia sebagai ketua jurulatih yang baharu bagi Selangor FC.

Kehadiran semula pakar taktikal, berusia 56 tahun, dari Republik Korea ke Malaysia itu diumumkan sendiri oleh Selangor FC menerusi satu kenyataan yang disiarkan di laman sesawangnya pada Isnin.

“Hari ini Kelab Bola Sepak Selangor (Selangor FC) secara rasmi mengumumkan Kim Pan-gon selaku Ketua Jurulatih baharu skuad utama Gergasi Merah,” tulis kenyataan oleh Selangor FC.

Kehadiran Pan-gon itu sekaligus menggantikan kekosongan yang ditinggalkan oleh jurulatih Jepun, Katsuhito Kinoshi ekoran direhatkan Selangor FC bermula 26hb September lalu.

“Keputusan saya menyertai Selangor FC dibuat berdasarkan keyakinan terhadap visi dan kesungguhan kelab. Mereka telah menunjukkan komitmen yang luar biasa serta pemahaman yang mendalam terhadap falsafah dan kepimpinan yang saya akan bawa.”     

“Selain itu, sasaran dan objektif kelab selaras dengan aspirasi peribadi saya sebagai seorang jurulatih,” ujar Pan-gon.

“Falsafah kejurulatihan saya sentiasa memberi fokus kepada pemain. Saya menekankan latihan berkualiti, pelan taktikal yang jelas, dan analisis lawan yang terperinci bagi memastikan persiapan pasukan berada pada tahap terbaik.”

“Struktur pasukan yang mempunyai gabungan pemain berpengalaman dan muda adalah seimbang, aspek disiplin, profesionalisme, fokus, serta kerja berpasukan menjadi asas supaya setiap individu dapat melaksanakan peranan masing-masing secara optimum.”

“Manakala dari luar padang, saya akan terus memberikan galakan dan motivasi agar pemain beraksi bersama-sama sebagai sebuah pasukan,” tambahnya lagi.

Untuk makluman, penyertaan Pan-gon bersama Selangor FC ini hadir kira-kira lima bulan selepas berpisah dengan kelab gergasi K-League, Ulsan HD.

Featured Image: Selangor FC

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd