Terbuka Malaysia: Tang Jie-Ee Wei Melangkah Ke Suku Akhir

January 8, 2026
Badminton

Hafiz Omar

Beregu campuran No.1 negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei berhasil melangkah ke suku akhir Terbuka Malaysia 2026 selepas mengalahkan rakan senegara, Hoo Pang Ron dan Cheng Su Yin di pusingan 16, sebentar tadi.

Pertemuan keempat melibatkan kedua-dua pasangan itu menyaksikan Tang Jie-Ee Wei merekodkan kemenangan bergaya dua set berturut-turut menerusi skor 21-13 dan 23-21 dalam masa 41 minit.

Keputusan itu menjadikan Tang Jie-Ee Wei kini mendahului rekod pertemuan dengan empat kemenangan berturut-turut selepas bertemu di Masters Korea 2023, Masters Thailand 2024 dan Terbuka Singapura 2024.

Hasil kemenangan itu membawa Tang Jie-Ee Wei bertemu beregu Hong Kong merangkap pilihan ketujuh kejohanan, Tang Chun Man dan Tse Ying Suet untuk merebut tempat ke peringkat separuh akhir.

Chun Man-Ying Suet mara ke suku akhir selepas mengetepikan wakil Chinese Taipei, Chen Cheng Kuan dan Hsu Yin-Hui menerusi skor 21-14 dan 21-19.

Berdasarkan rekod, Tang Jie-Ee Wei dan Chun Man-Ying Suet pernah bertembung sebanyak tiga kali setakat ini dengan dua pertarungan berpihak kepada Tang Jie-Ee Wei.

Featured Image: BAM

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd