Terbuka Malaysia: Pemenang Pingat Perak Sukan SEA Singkir Pearly-Thinaah

January 8, 2026
Badminton

Hafiz Omar

Beregu wanita No.1 negara, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada saingan Terbuka Malaysia 2026 selepas terkandas di pusingan 16, hari ini.

Pasangan berusia 25 dan 28 tahun masing-masing itu terkandas susulan tewas di tangan beregu Indonesia yang meraih pingat perak Sukan SEA 2025, Febriana Dwipuji Kusuma dan Meilysa Tria Puspitasari – lawan yang sama mereka hadapi di perlawanan akhir Sukan SEA baru-baru ini.

Dalam aksi tersebut, Pearly-Thinaah merangkap pilihan kedua kejohanan tewas aksi sengit yang berlangsung hampir satu jam lamanya itu menerusi skor 24-26 dan 17-26.

Kekalahan itu sekaligus melunaskan dendam Febriana-Meilysa ke atas Pearly-Thinaah selepas tewas dalam aksi penentuan pingat emas Sukan SEA 2025, Disember lalu. 

Pada masa yang sama, keputusan pada hari ini turut membuatkan Pearly-Thinaah kempunan untuk menjejakkan kaki buat julung kalinya ke peringkat suku akhir Terbuka Malaysia.

Sebagai rekod, prestasinya pada kali ini menyamai pencapaian edisi 2022 dimana mara setakat pusingan 16 sahaja.

Sementara itu, Febriana-Meilysa yang merekodkan kemaraan akan membuat perhitungan dengan samada pilihan keenam kejohanan dari Republik Korea, Baek Ha Na dan Lee So Hee atau wakil Chinese Taipei, Hu Ling Fang dan Jheng Yu Chieh untuk merebut tiket separuh akhir.

Featured Image: OCM

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd