Terbuka Malaysia: Aaron-Wooi Yik Jejak Pentas Separuh Akhir Pertama Sejak 2022

January 9, 2026
Badminton

Hafiz Omar

Beregu lelaki No.2 dunia, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik menjadi wakil tunggal negara yang melayakkan diri ke peringkat separuh akhir Terbuka Malaysia 2026.

Langkah ke separuh akhir di kejohanan bertaraf Super 1000 itu dicetak Aaron-Wooi Yik selepas mengalahkan wakil Indonesia, Sabar Karyaman Gutama dan Moh Reza Pahlevi Isfahani.

Aaron-Wooi Yik menoktahkan pertemuan keenam di itu dengan bergaya menerusi skor 21-19 dan 21-10 dalam masa 34 minit diiringi dengan sorakan dan sokongan padu daripada ribuan penonton di Axiata Arena.

Terdahulu, dua wakil negara di peringkat suku akhir iaitu pasangan campuran, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei serta beregu lelaki No.2 negara, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun gagal melangkah ke separuh akhir selepas tewas kepada lawan masing-masing.

Sementara itu, di peringkat separuh akhir, Aaron-Wooi Yik akan berhadapan dengan sepasang lagi beregu Indonesia iaitu Fajar Alfian dan Muhammad Shohibul Fikri.

Untuk makluman, beregu yang menduduki ranking keenam dunia berkenaan menempah tiket separuh akhir selepas mengejutkan pilihan ketiga kejohanan dari India, Satwiksairaj Rankireddy dan Chirag Shetty dengan keputusan 21-10 dan 23-21.

Sebagai tambahan, ini merupakan kemaraan ke separuh akhir Terbuka Malaysia yang pertama buat Aaron-Wooi Yik sejak 2022 selepas terkandas di pusingan 16 dalam ketiga-tiga edisi berikutnya.

Featured Image: BAM

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd