Terbuka Malaysia: Aaron-Wooi Yik Buat Perhitungan Dengan Juara Bertahan
Hafiz Omar

Beregu lelaki No.2 dunia, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik akan membuat perhitungan dengan juara bertahan, Kim Won Ho dan Seong Seung Jae bagi merebut gelaran juara Terbuka Malaysia 2026.
Terdahulu, Aaron-Wooi Yik mengesahkan tempat ke perlawanan akhir bagi kejohanan bertaraf Super 1000 itu selepas menumpaskan beregu dari negara seberang Selat Melaka iaitu Fajar Alfian dan Muhammad Shohibul Fikri.
Pertemuan di peringkat separuh akhir itu menyaksikan Aaron-Wooi Yik mencetak kemenangan bergaya sambil disaksikan belasan ribu penonton di Axiata Arena menerusi skor 23-21 dan 21-18 dalam masa 51 minit.
Keputusan itu turut menyeimbangkan rekod pertemuan Aaron-Wooi Yik dan Fajar-Shohibul di pelbagai kejohanan antarabangsa kepada dua kemenangan masing-masing.
Pada masa yang sama, kemaraan Aaron-Wooi Yik ini menamatkan kemarau 12 tahun kemaraan beregu lelaki negara ke perlawanan akhir Terbuka Malaysia selepas Goh V Shem dan Lim Khim Wah pada tahun 2014.
Sementara itu, Won Ho-Seung Jae pula menempah tiket ke perlawanan akhir selepas bertarung hebat dengan wakil England, Ben Lane dan Sean Vendy dan melakar kemenangan menerusi skor 8-21, 21-11 dan 21-18 dalam masa 58 minit.
Bercakap mengenai pertemuan Aaron-Wooi Yik dan Won Ho-Seung Jae, kedua-duanya pernah bertemu sebanyak dua kali setakat ini.
Pertemuan sulung di Terbuka India 2025 berpihak kepada Won Ho-Seung Jae manakala pertembungan kedua merangkap terakhir di Terbuka Singapura 2025 memihak kepada Aaron-Wooi Yik.
Featured Image: BAT