Badan Induk Badminton Negara Perlu RM55 Juta Setahun

January 10, 2026
Badminton

Hafiz Omar

Badan induk, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memerlukan sekitar RM55 juta setahun bagi menampung kos pengurusan, gaji pemain dan jurulatih serta penyertaan kejohanan-kejohanan antarabangsa.

Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkongsikan bahawa hampir RM54 juta telah dibelanjakan BAM setakat November tahun lalu. Dua komponen terbesar dalam kos itu melibatkan gaji dan imbuhan pemain serta kos menyertai kejohanan.

“Akaun belum ditutup lagi, tetapi sehingga akhir November, jumlah perbelanjaan hampir RM54 juta,” kongsinya kepada pihak media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis BAM di Axiata Arena pada hari ini.

Jelasnya lagi, kos gaji, imbuhan dan penyertaan kejohanan menelan lebih separuh daripada perbelanjaan tahunan BAM. Manakala, penganjuran kejohanan-kejohanan turut melibatkan kos tinggi tetapi memberikan pulangan tertentu.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul mengakui BAM masih memerlukan tambahan kira-kira 20 peratus hasil bagi menampung keperluan semasa, dengan operasi tahunan dijangka mencecah RM55 juta, malah jumlah itu dijangka meningkat tahun ini.

“Bagi 11 bulan pertama tahun lalu, pendapatan kita melebihi RM50 juta, termasuk bantuan RM5.5 juta daripada kerajaan,” ujarnya sambil menekankan usaha memperkukuh penjenamaan dan pemasaran untuk menarik lebih banyak penaja.

Ketika bercakap bersama media, Tengku Zafrul turut memaklumkan BAM sedang melangkah ke arah ketelusan kontrak pemain termasuk pendedahan gaji pemain-pemain – bagi mengelakkan salah faham dan memastikan integriti pengurusan badan induk terpelihara.

Selain itu, beliau turut menegaskan bahawa BAM tidak pernah mengambil atau memotong wang kemenangan kejohanan yang diterima pemain-pemain dan ianya telah menjadi amalan sejak dahulu lagi. 

“Saya tegaskan bahawa, 100 peratus wang kemenangan kejohanan adalah milik pemain sepenuhnya tanpa sebarang potongan atau komisen oleh BAM, dari dulu sampai sekarang,” tambahnya.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd