Real Madrid Singkir Alonso, Arbeloa Dipilih Sebagai Pengganti
Hafiz Omar

Kelab yang menghuni tangga kedua LaLiga, Real Madrid tidak lagi menggunakan khidmat Xabi Alonso sebagai ketua jurulatihnya.
Perkembangan ini hadir selepas kelab gergasi Sepanyol itu mengumumkan menamatkan kontrak Alonso bersama Real Madrid dengan persetujuan bersama.
Real Madrid menamatkan kontrak Alonso sebagai ketua jurulatihnya sehari selepas tewas 2-3 di tangan FC Barcelona dalam perlawanan akhir Supercopa de Espana.
Ini bermakna jodoh Alonso bersama Real Madrid selaku ketua jurulatih hanya bertahan sekitar tujuh bulan sahaja – dilantik bermula 1hb Jun 2025. Ketika itu, Alonso menandatangani kontrak selama tiga musim bersama Real Madrid.
Terdahulu, khidmat Alonso dipancing oleh Real Madrid setahun selepas menampilkan musim yang cemerlang bersama Bayer Leverkusen – menjuarai Bundesliga buat julung kalinya dalam sejarah kelab tanpa sebarang kekalahan.
Musim itu juga, Alonso membimbing Leverkusen muncul juara DFB-Pokal serta mara ke perlawanan akhir Liga Europa UEFA.
Susulan penamatan kontrak itu, Real Madrid mengumumkan bekas pemain merangkap jurulatih pasukan pembangunannya, Real Madrid Castilla iaitu Alvaro Arbeloa diangkat sebagai ketua jurulatih skuad utama Real Madrid yang baharu.
Featured Image: Real Madrid