Salah, Mane Bertembung Di Separuh Akhir AFCON

January 13, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Penyerang Liverpool, Mohamed Salah akan bertembung dengan bekas rakan sepasukannya, Sadio Mane di separuh akhir Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2025.

Dua penyerang itu bertembung susulan Mesir dan Senegal melakar kemenangan ke atas lawan masing-masing di peringkat suku akhir.

Senegal pimpinan Mane terlebih dahulu mengesahkan tempat ke separuh akhir apabila mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Mali yang bermain 10 orang hasil jaringan Iliman Ndiaye pada Sabtu lalu.

Sementara itu, Mesir pula mara selepas menyingkirkan Ivory Coast dengan keputusan 3-2 pada Ahad dimana Salah turut mencetak nama selaku penjaring gol dalam perlawanan tersebut.

Salah dan Mane dilabel sebagai bintang terbaik Liverpool sepanjang zaman selain merupakan sebahagian daripada trio berbisa The Reds semasa era bimbingan jurulatih Jerman, Jurgen Klopp.

Ketika beraksi bersama-sama, gandingan itu membantu Liverpool meraih kejuaraan Liga Perdana (PL), Piala FA, Piala Liga, Liga Juara-Juara UEFA dan Piala Dunia Kelab FIFA.

Bagaimanapun, trio yang turut merangkumi Roberto Firmino itu terlerai apabila Mane meninggalkan Liverpool pada tahun 2022 untuk menyertai Bayern Munich.

Sebagai rekod, Salah dan Mane pernah bertembung sebanyak lima kali setakat ini ketika mewakili negara masing-masing. Daripada kesemuan pertembungan itu, hanya satu perlawanan sahaja berhasil dimenangi Salah dan Mesir manakala selebihnya berpihak kepada Mane dan Senegal.

Aksi separuh akhir melibatkan Mesir dan Senegal dijadualkan berlangsung pada pukul 1 pagi, awal pagi Khamis (waktu Malaysia) – 15hb Januari 2026.

Featured Image: Senegalese Football Federation & Egypt National Team

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd