Terbuka India: Soon Huat-Shevon Mara, Pang Ron-Su Yin Kandas
Hafiz Omar

Dua nasib yang berbeza menimpa beregu campuran No.2 negara, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai dan No.3 negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin dalam kempen Terbuka India 2026 yang bermula pada hari ini.
Soon Huat-Shevon yang bertemu wakil Chinese Taipei, Wu Guan Xun dan Lee Chia Hsin mencetak kemenangan bergaya di pusingan 32 menerusi skor 21-17 dan 21-17 dalam masa 29 minit sekaligus mengesahkan tempat ke pusingan 16.
Bagaimanapun, keputusan sebaliknya menimpa Pang Ron-Su Yin yang turun berentap menentang pilihan ketiga kejohanan, Dechapol Puavaranukroh dan Supissara Paewsampran.
Beregu campuran No.1 Thailand itu berada dalam kelasnya yang tersendiri namun Pang Ron-Su Yin tidak memberikan mereka laluan mudah. Mereka terpaksa bertarung selama hampir satu jam lamanya sebelum menoktahkannya menerusi skor 17-21, 21-16 dan 22-20.
Sementara itu, Soon Huat-Shevon yang juga merupakan pasangan suami isteri akan meneruskan kempennya dengan bertemu Ruttanapak Oupthong dan Jhenicha Sudjaipraarat untuk merebut tiket ke peringkat suku akhir.
Sebagai rekod, perjalanan Soon Huat-Shevon di Terbuka India 2025 berlanjutan sehingga ke peringkat separuh akhir sebelum dipatahkan wakil China, Jian Zhen Bang dan Wei Ya Xin.
Featured Image: BAM