JDT Panggil Semula Stuart Wilkin, Syamer Kutty

January 14, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) memanggil semula dua pemain, Stuart Wilkin dan Syamer Kutty pada jendela perpindahan pertengahan musim Liga Malaysia 2025-26.

Kehadiran pemain tersebut diumumkan oleh skuad berjulukan Harimau Selatan menerusi pelbagai platform media sosialnya, pada Selasa.

Wilkin, 27 tahun, kembali semula ke JDT selepas empat tahun bersama Sabah FC.   

Penyertaan Wilkin bersama Sabah FC bermula dengan status pinjaman pada musim 2022 sebelum kontrak tetap pada musim berikutnya. Sepanjang tempoh itu, Wilkin menjadi tunjang buat Sabah FC dalam pelbagai kejohanan termasuk di peringkat antarabangsa. 

Sementara itu, Syamer, 28 tahun, kembali ke pangkuan JDT selepas beraksi separuh musim 2025-26 bersama Kuala Lumpur City FC (KL City). Bersama skuad ibu kota itu, Syamer sempat meraih 13 penampilan selain menjaringkan satu gol.

Sebelum menyertai KL City, Syamer turut beraksi sebagai pemain pinjaman bersama Penang FC pada musim 2024-25.

Wilkin dan Syamer menjadi dua pemain diumumkan oleh JDT pada jendela perpindahan pertengahan musim ini selepas mengumumkan penyertaan pemain import baharu, Rui Filipe Cunha Correia dikenali sebagai Nene dari Portugal.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd