Manchester United Pilih Carrick Ganti Amorim
Hafiz Omar

Kelab yang menghuni tangga ketujuh Liga Perdana (PL), Manchester United mendapat ketua jurulatih baharu selepas menamatkan kontrak Ruben Amorim.
Menerusi satu kenyataan media pada awal pagi Rabu (waktu Malaysia), skuad yang terkenal dengan julukan The Red Devils itu mengumumkan melantik bekas kaptennya, Michael Carrick sebagai ketua jurulatih baharu.
Carrick, 44 tahun, diberikan peranan untuk melatih skuad utama Manchester United sehingga ke penghujung musim 2025-26.
Selepas menggantungkan butnya di penghujung musim 2017-18, Carrick yang pernah beraksi bersama Tottenham Hotspur menyertai barisan kejurulatihan Manchester United pimpinan Jose Mourinho dan Ole Gunnar Solksjaer.
Selepas Solksjaer meninggalkan Manchester United, Carrick diberikan peranan sebagai ketua jurulatih sementara buat Red Devils sebelum tibanya Ralf Ragnick.
Ketika itu, Carrick sempat mengendalikan tiga perlawanan; mencatatkan kemenangan bertemu Villarreal dan Arsenal serta seri dengan Chelsea.
Selepas itu, khidmat Carrick ditandatangani oleh kelab yang beraksi dalam kancah Liga Kejuaraan, Middlesbrough sejak Oktober 2022 dan membimbing kelab itu selama dua tahun dan setengah.
Sepanjang bersama kelab berkenaan, pencapaian terbaik dilakar Carrick adalah membimbing kelab itu menamatkan Liga Kejuaraan 2022-23 di tangga keempat serta mara ke peringkat separuh akhir Piala Liga 2023-24.
Pada minggu lalu, Manchester United mengejutkan peminat bola sepak apabila menamatkan kontrak Amorim selaku ketua jurulatih dengan persetujuan bersama – sehari selepas seri 1-1 dengan Leeds
Featured Image: Manchester United