Copa del Rey: Kelab Divisyen 2 Benam Real Madrid

January 15, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Real Madrid kendalian Alvaro Arbeloa tersingkir daripada saingan Copa del Rey selepas tewas mengejut di tangan kelab divisyen kedua Sepanyol, Albacete pada awal pagi tadi (waktu Malaysia).

Pertemuan di pusingan 16 bagi kejohanan kalah mata yang berlangsung di Stadium Carlos Belmonte itu berakhir dengan keputusan Albacete menang 3-2 ke atas Real Madrid.

Pertarungan itu berlangsung dengan cukup epik apabila kedua-duanya terikat 2-2 selepas beraksi selama 90 minit.

Bagaimanapun, peluang Real Madrid yang juga naib juara edisi lalu ke suku akhir ditutup serapat-rapatnya oleh Albacete apabila Jefte Betancor menyumbat gol kemenangan pada minit 90+4’.

Gol itu menggamatkan stadium yang dihadiri lebih 17,000 penonton yang turut menandakan maranya mereka ke kelompok lapan terakhir Copa del Rey musim ini.

Lebih malang, Real Madrid mengalami kekalahan ini selepas tewas di tangan FC Barcelona pada Ahad lalu dalam perlawanan akhir Supercopa de Espana.

Kekalahan itu juga diiringi dengan penamatan kontrak secara mengejut bekas ketua jurulatihnya, Xabi Alonso.

Featured Image: Real Madrid

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd