Ganjaran Pingat Gangsa Sukan SEA Dinaikkan Dari RM750 Kepada RM1,000
Hafiz Omar

Pemenang pingat gangsa di temasya Sukan SEA akan meraih ganjaran daripada Skim Hadiah Kemenangan Sukan Kebangsaan (SHAKAM) sebanyak RM1,000.
Jumlah itu dinaikkan daripada RM750 selepas perbincangan oleh Lembaga Pengurusan Majlis Sukan Negara (MSN).
“Saya ingin mengumumkan bahawa kadar hadiah bagi pemenang pingat gangsa Sukan SEA telah dinaikkan kepada RM1,000.” umum Menteri Belia dan Sukan, YB Dr. Taufiq Johari dalam Majlis Perjumpaan Bersama Atlet dan Jurulatih Negara, hari ini.
Menurut Dr. Taufiq, keputusan itu dibuat susulan cadangan penambahbaikan Skim Hadiah Kemenangan Sukan yang kali terakhir disemak pada tahun 2014.

Pada masa yang sama, pihak MSN turut menjelaskan bahawa ganjaran itu turut menyaksikan pemenang pingat gangsa bagi sukan berpasukan mendapat RM1,000 bagi setiap anggota pasukan.
Ini berbeza dengan ganjaran yang ditetapkan sebelum ini, dimana, RM750 itu dibahagikan kepada anggota pasukan yang meraih pingat gangsa terbabit.
Manakala ganjaran bagi pemenang pingat emas dan perak kekal pada jumlah RM20,000 dan RM5,000 masing-masing.
Sementara itu, Dr. Taufiq turut mengumumkan kelulusan turut diberikan bagi peluasan skim insentif merangkumi temasya Sukan Remaja, Sukan Orang Pekak serta Kejohanan Utama Sukan Para.
“Kelulusan ini melibatkan peruntukan sebanyak RM10 juta setahun. Ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan kebajikan serta pengiktirafan menyeluruh kepada semu atlet.” tambahnya.
Featured Image: KBS Malaysia