Terbuka India: Pearly-Thinaah, Fukushima-Matsumoto Rebut Tiket Perlawanan Akhir
Hafiz Omar

Beregu wanita No.1 negara, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan akan membuat perhitungan dengan Yuki Fukushima dan Mayu Matsumoto di peringkat separuh akhir Terbuka India 2026.
Pertemuan dengan beregu wanita No.1 Jepun itu menjadi penentuan samada Pearly-Thinaah dapat melangkah buat julung kalinya ke perlawanan akhir Terbuka India dalam kariernya.
Berdasarkan rekod, Pearly-Thinaah dan Fukushima-Matsumoto pernah bertembung sebanyak lapan kali di pelbagai kejohanan antarabangsa.
Secara keseluruhannya, Pearly-Thinaah dilihat mendominasi rekod pertemuan itu dengan lima kemenangan berbanding hanya tiga yang berpihak kepada Fukushima-Matsumoto.
Bagaimanapun, dua pertemuan terakhir yang berlangsung di peringkat kumpulan dan separuh akhir Jelajah Dunia Akhir BWF 2025 sekitar penghujung Disember lalu tidak berpihak kepada Pearly-Thinaah.
Terdahulu, Pearly-Thinaah berhasil mengesahkan tempat ke separuh akhir Terbuka India 2026 selepas mengetepikan cabaran Hsieh Pei Shan dan Hung En-Tzu dari Chinese Taipei menerusi skor 21-16 dan 21-10 dalam masa 33 minit.
Sementara itu, Fukushima-Matsumoto merangkap pilihan kelima kejohanan pula mara selepas mengalahkan pasangan Korea, Jeong Na Eun dan Lee Yeon Woo menerusi skor 21-10 dan 21-11 dalam masa 43 minit.
Sebagai rekod, kemaraan Pearly-Thinaah ke separuh akhir kali ini menyamai kempen pada edisi 2025 dan 2023 – kempen terbaiknya di Terbuka India.
Featured Image: BAC