Senegal Juarai AFCON 2025

January 19, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Senegal muncul juara Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2025 selepas mengejutkan hos iaitu Maghribi menerusi jaringan tunggal yang terhasil pada masa tambahan, awal pagi tadi.

Pemain tengah bertahan Villarreal, Pape Gueye muncul hero buat Senegal, pada minit ke-94, apabila menyudahkan lorongan oleh Idrissa Gueye mengalahkan penjaga gol lawan, Yassine Bounou.

Gol itu berpunca daripada serangan balas yang dimulai oleh Sadio Mane – merampas bola daripada Neil El Aynaoui yang ketika itu cuba merencana serangan ke atas Senegal.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by #TotalEnergiesAFCON2025 (@caf_online)

Sebelum perlawanan dilanjutkan ke masa tambahan, Maghribi, yang mara ke separuh akhir Piala Dunia FIFA 2022, mempunyai peluang keemasan untuk memenangi perlawanan dengan keputusan 1-0.

Bagaimanapun, sepakan penalti yang dihadiahkan oleh pengadil Jean Jacques Ngambo Ndala disia-siakan oleh pemain tengah Real Madrid, Brahim Diaz yang melakukan sepakan ‘panenka’ lemah seterusnya ditangkap mudah penjaga gol Senegal, Edouard Mendy.

Sepakan penalti diberikan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) menunjukkan bek kiri Senegal, El Hadji Malick Diouf dijatuhkan ketika mempertahankan sepakan sudut dalam masa kecederaan.

Sebagai rekod, ini merupakan kejuaraan AFCON kedua diraih Senegal selepas menjuarainya pada edisi 2021 dengan mengalahkan Mesir.

Featured Image: Fédération Sénégalaise de Football

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd