NFDP: FAM Urus Aspek Teknikal, MSN Urus Aspek Pengurusan
Hafiz Omar

Aspek teknikal dalam Program Pembangunan Bola Sepak Negara (MSN) kini berada di bawah tanggungjawab Persatuan Bola Sepak Negara (FAM).
Badan induk bola sepak tanah air itu secara rasminya mengambil alih peranan tersebut sebagai langkah strategik untuk memperkukuh ekosistem pembangunan bakat bola sepak negara secara lebih tersusun, bersepadu dan berimpak tinggi.
Pengambilalihan itu dimaklumkan sendiri oleh Majlis Sukan Negara (MSN) menerusi satu siaran media yang dikongsikan pada Sabtu.
“Pengambilalihan ini melibatkan aspek teknikal sepenuhnya, selaras dengan kepakaran serta mandat FAM sebagai badan induk bola sepak negara.”
“Antara tanggungjawab utama yang digalas oleh FAM merangkumi latihan atlet, penyertaan kejohanan serta pengurusan kejurulatihan di semua peringkat pelaksanaan NFDP.”
“Ianya selaras dengan cadangan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang membuat penilaian terhadap program pembangunan itu hasil permintaan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).” jelas MSN dalam siaran media sebanyak tiga muka surat terbabit.
Pengambilalihan itu dapat dilihat dengan pengumuman pelantikan bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee oleh FAM sebagai Pengarah Teknikal NFDP serta barisan kejurulatihan buat pelbagai skuad Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari (AMD), baru-baru ini.
Sementara itu, peranan MSN pula akan terarah kepada aspek pengurusan dan sokongan atlet.
“Tanggungjawab MSN meliputi pentadbiran, pengurusan fasiliti dan kewangan, pengurusan pertandingan, kebajikan dan pendidikan atlet, pengurusan asrama dan pemakanan, perkhidmatan perubatan serta sains sukan, selain pelaksanaan program pembangunan atlet secara menyeluruh.” tambah kenyataan oleh MSN.
Tujuan pembahagian peranan yang jelas antara FAM dan MSN ini bertujuan memastikan NFDP dilaksanakan dengan lebih efektif dan profesional, sejajar dengan piawaian pembangunan bola sepak antarabangsa.
Di samping itu, ianya turut bertujuan untuk menjamin kebajikan serta perkembangan menyeluruh atlet muda negara.
Dalam perkongsian yang sama, dimaklumkan, tiga jawatankuasa utama akan memantau NFDP bagi memastikan tadbir urus yang telus dan berkesan.
- Jawatankuasa Pemandu – dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan, bertindak sebagai badan tertinggi dalam menetapkan hala tuju strategik NFDP.
- Jawatankuasa Kerja – dipengerusikan oleh Ketua Pengarah MSN, bertanggungjawab menyelaras pelaksanaan dasar serta operasi program.
- Jawatankuasa Teknikal – dipengerusikan oleh Timbalan Presiden FAM, memantau dan menilai aspek teknikal pembangunan pemain serta kejurulatihan.