Bangkok United FC Pinjam Pemain Tengah Selangor FC
Hafiz Omar

Pemain tengah kelahiran Thailand, Picha Autra kini tidak lagi bersama Selangor FC untuk baki musim 2025-26.
Ini kerana pemain yang baru sahaja menjengah usia 30 tahun itu kembali ke kancah bola sepak negara kelahirannya dengan menyertai Bangkok United FC.
Dimaklumkan oleh skuad berjulukan Gergasi Merah, Bangkok United FC yang menghuni tangga keempat Liga 1 Thai itu meminjam khidmat Autra sehingga ke penghujung musim ini.
Kelibatnya ketika bertemu Negeri Sembilan FC dalam saingan Liga Super pada Rabu lalu menjadi penampilan terakhirnya dalam warna Merah Kuning bagi musim ini.
View this post on Instagram
Sebagai rekod, Autra yang juga merupakan pemain skuad kebangsaan Thailand dibawa masuk oleh Selangor FC sekitar penghujung Jun tahun lalu.
Khidmatnya dipancing untuk membantu Selangor FC mengharungi pelbagai saingan dalam Liga Malaysia serta pertandingan di peringkat antarabangsa seperti Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) dan Kejohanan Kelab ASEAN Piala Shopee.
Sepanjang bersama Selangor FC, Autra berhasil merekodkan 14 penampilan dengan 738 minit permainan serta menyumbang satu gol dan mencetak satu bantuan gol.
Featured Image: Selangor FC