Ranking BWF: Zii Jia Hampiri Kelompok 100 Teratas
Hafiz Omar

Perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia yang terpaksa berehat panjang berikutan kecederaan pada tahun lalu kini menghampiri kelompok pemain 100 teratas dalam Ranking Dunia.
Kemaskini oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada hari ini menyaksikan Zii Jia kini berada di tempat ke-103 dunia – meningkat sebanyak 16 anak tangga berbanding minggu lalu.
Ini merupakan peningkatan kedua berturut-turut selepas mencatatkan kenaikan 25 anak tangga pada kemaskini Ranking Dunia, pada minggu lalu.
Kenaikan itu disumbangkan oleh penyertaan Zii Jia dalam Terbuka Malaysia 2026 dan Terbuka India 2026 yang memberikan pertambahan 5,660 mata sekaligus menjadikannya mengumpul 18,840 mata secara keseluruhan.
Sementara itu, status perseorangan lelaki No.1 negara masih menjadi milik Leong Jun Hao biarpun mengalami kejatuhan sebanyak tujuh anak tangga dan berada di tangga ke-30 dunia.
Pemain berusia 21 tahun, Justin Hoh pula mengukuhkan lagi statusnya sebagai perseorangan lelaki No.2 negara dengan mencetak kenaikan dua anak tangga – kini di tempat ke-37 dunia.