Masters Indonesia: Beregu No.28 Dunia Singkir Aaron-Wooi Yik

January 20, 2026
Badminton

Hafiz Omar

Aaron Chia dan Soh Wooi Yik tersingkir awal daripada kejohanan Masters Indonesia 2026 apabila tewas mengejut di tangan Daniel Lundgaard dan Mads Vestergaard di pusingan 32, sebentar tadi.

Aaron-Wooi Yik yang turun selaku pilihan pertama kejohanan serta status beregu lelaki No.2 dunia terlebih dahulu mencetak kemenangan pada set pertama menerusi skor 22-20.

Bagaimanapun, beregu lelaki No.3 Denmark itu bangkit pada set kedua dengan skor 21-19 sebelum menoktahkannya dengan skor 21-16 pada set ketiga.

Pertarungan ketiga melibatkan Aaron-Wooi Yik dan Lundgaard-Vestergaard di pentas antarabangsa itu berlangsung sengit dengan memakan masa satu jam dan tiga minit.

Untuk makluman, ini merupakan kekalahan sulung Aaron-Wooi Yik di tangan Lundgaard-Vestergaard selepas melakar dua kemenangan berturut-turut di Masters Kumamoto 2024 dan Terbuka Artik 2025.

Pada edisi lalu, kempen Aaron-Wooi Yik mara di Masters Indonesia berlanjutan sehingga ke peringkat separuh akhir sebelum dipatahkan oleh Man Wei Chong dan Tee Kai Wun.

Featured Image: BAM

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd