Lebih 21,000 Peserta Meriahkan Larian Twincity Marathon 2026

January 21, 2026
Lain-Lain

Hafiz Omar

Acara pembuka larian bagi tahun 2026, Twincity Marathon 2026 menarik lebih 21,000 peserta dari 33 buah negara sekaligus menunjukkan peningkatan ketara daripada segi penyertaan berbanding edisi tahun lalu.

Sebagai rekod, acara Twincity Marathon 2025 merekodkan penyertaan seramai 13,000 peserta.

Pengarah Urusan Ten Senses (M) Sdn. Bhd. (Ten Senses) merangkap penganjur Twincity Marathon 2026, Mohd. Bukhari Ismail, pihaknya mengakui agak terkejut dengan sambutan yang diberikan oleh para peserta bagi acara itu yang memasuki edisi ke-11 penganjurannya sejak tahun 2014.

“Kami telah membuka pendaftaran bagi semua kategori seawal bulan Jun 2025 dan merancang untuk membukanya sehingga Disember 2025 dengan sasaran awal seramai 18,000 penyertaan.”

“Namun pada November 2025, kami terpaksa menutup pendaftaran disebabkan jumlah penyertaan sudah melebihi 21,000 orang berbanding edisi 2025 yang mencatatkan lebih 13,000 penyertaan.”

“Jumlah penyertaan yang ramai ini mungkin disebabkan oleh peningkatan daripada segi jumlah mereka yang semakin aktif dalam acara larian, selain jenama ‘Twincity Marathon’ yang semakin kukuh sebagai salah satu acara larian maraton yang terkemuka di negara ini.”

“Mungkin atas dasar itulah, ramai peserta yang menjadikanTwincity Marathon sebagai medan untuk menguji kemampuandiri masing-masing setelah sekian lama berlatih,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd. Bukhari berkata, edisi 2026 yang telah berlangsung pada 17hb dan 18hb Januari lalu di sekitar Putrajaya dan Cyberjaya mempertandingkan enam jarak larian merangkumi larian 3 kilometer (km), 5km, 10km, 12km, 21km dan 42km.

“Bagi jarak larian 12km, 21km dan 42km, penyertaan dipecahkan kepada dua kumpulan iaitu kategori terbuka melibatkan peserta berusia antara 16 tahun hingga 39 tahun, dan kategori veteran bagi peserta berusia 40 tahun ke atas.”

“Untuk jarak larian 10km pula, ia dikhususkan untuk kategori ‘friendship run’ iaitu acara larian berkumpulan dan penyertaan dibuka kepada semua peringkat usia.”

“Bagi kategori 5km pula, penyertaan melibatkan peserta berusia lima tahun ke atas, manakala bagi jarak larian 3km dikhaskan untuk kategori kanak-kanak berusia antara 5 hingga 12 tahun, dan kategori remaja berusia antara 13 hingga 17 tahun,” katanya.

Jelas Mohd. Bukhari lagi, pada setiap kali penganjuran acara larian Twincity Marathon, acara tumpuan adalah melibatkan jarak larian 12km, 21km dan 42km yang mencatatkan penyertaan paling ramai.

Seramai 4,500 orang telah mendaftar bagi acara jarak 12km manakala bagi jarak 21km dan 42km pula masing-masing mencatatkan penyertaan seramai 10,600 orang dan 3,500 orang. 

Tiga lagi kategori iaitu 10km, 5km dan 3km menyaksikan masing-masing disertai seramai 1,300 peserta, 1,500 peserta dan 200 peserta.

Beralih kepada senarai pemenang, acara 42km bagi kategori lelaki terbuka dimenangi pelari Malaysia, Muhamad Haziq Hamzah dengan catatan masa  2:41:41 sementara kategori wanita terbuka pula diungguli Noor Pamela Musa dengan masa larian 3:13:05 saat.

Kategori veteran lelaki 42km pula dimenangi Nik Fakaruddin Ismail (2:48:37), dan Lee Siok Chin mengungguli kategori veteran wanita.

Bagi kategori lelaki dan wanita antarabangsa 42km pula ianya dimenangi Kazuto Sato dan Vu Khanh Linh masing-masing.

Seterusnya, acara larian 21km terbuka, ia dimenangi oleh Wan Azizul Wan Rosley (terbuka lelaki), Chua Khit Yeng (terbuka wanita), Muhaizar Mohamad (veteran lelaki), Ng Mei Mei (terbuka wanita), David Kibet (antarabangsa lelaki) dan Nami Kanai (antarabangsa wanita).

Kesemua pemenang meraih hadiah berupa wang tunai beserta trofi kemenangan. 

Sejak dianjurkan bermula sedekad lalu iaitu tahun 2014, acara larian Twincity Marathon telah berjaya menarik penyertaan lebih daripada 70,000 peserta dari pelbagai negara.

Untuk pengetahuan semua, Twincity Marathon 2026 dijayakan dengan sokongan penuh daripada Perbadanan Putrajaya, Pulse Group, Majlis Perbandaran Sepang serta sokongan dari Persatuan Olahraga Wilayah Persekutuan, Hospital Pakar Avisena Shah Alam, Selgate Corporation, Rokeby, Boom+, Paramount Corporation Berhad dan Kahf.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd