Masters Indonesia: Zii Jia Cetak Kemenangan Sulung

January 21, 2026
Badminton

Hafiz Omar

Bekas perseorangan lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia berhasil mencetak kemenangan sulung sejak kembali beraksi di kejohanan antarabangsa selepas berehat panjang sekitar penghujung tahun lalu.

Pemain kelahiran negeri Kedah itu mendaftarkan kemenangan pertamanya ketika bertemu pemain India, Prannoy H. S. pada pusingan 32 di Masters Indonesia, pada hari ini.

Bukan sahaja merekodkan kemenangan, perlawanan keempat bertemu pemain yang menduduki ranking ke-35 dunia itu disudahi Zii Jia dengan bergaya menerusi skor 21-19 dan 21-11 dalam masa 35 minit.

Hasilnya, Zii Jia dapat melakar kemaraan ke peringkat pusingan 16 bagi kejohanan Jelajah Dunia BWF Super 500 ini.

Menantinya di peringkat itu adalah wakil muda Thailand yang berusia 21 tahun, Panitchaphon Teeraratsakul – penghuni tangga ke-44 dalam Ranking Dunia. 

Teeratsakul mara selepas mengetepikan pemain Chinese Taipei, Lee Chia Hao menerusi skor 21-10 dan 21-18.

Terdahulu, kempen Zii Jia di Terbuka Malaysia 2026 dan Terbuka India 2026 menemui titik noktahnya di pusingan 32 selepas tewas di tangan Ayush Shetty dan Rasmus Gemke masing-masing.

Featured Image: VICTOR

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd