Sabah FC Ikat Bek Kiri Sepanyol-Thailand Berusia 35 Tahun
Hafiz Omar

Kelab berpangkalan di kepulauan Borneo, Sabah FC mengumumkan penyertaan Ernesto Amantegui Phumipha – pemain import baharu, berusia 35 tahun, beraksi di posisi bek kiri.
Pemain berdarah campuran Sepanyol-Thailand dengan ketinggian 1.80 meter (m) itu diumumkan oleh Sang Badak menerusi pelbagai platform media sosialnya, pada Rabu.
Ernesto dilihat sebagai jawapan oleh Sabah FC kepada kekosongan yang ditinggalkan bekas bek kirinya, Daniel Ting yang berhijrah ke Thailand dengan menyertai Ratchaburi FC secara pinjaman oleh Johor Darul Ta’zim (JDT).
View this post on Instagram
Ernesto memulakan karier bola sepaknya di Sepanyol dengan menyertai Oviedo sejak zaman remaja sebelum menembusi skuad utama diikuti dengan bermain bersama Club Deportivo Mirandes dan Sporting Gijon B.
Bermula tahun 2013, Ernesto keluar dari negara kelahirannya dan berkelana di Thailand bermula dengan menyertai Buriram United.
Selepas itu, khidmatnya dipancing pelbagai kelab di sana seperti Army United, Bangkok United, Air Force Central, Port FC, Muanthong United, Samut Prakan City, BG Pathum United, Police Tero, Khon Kaen United dan Nakhon Pathom United.
Ernesto pernah menyarung jersi skuad kebangsaan Thailand berjulukan Gajah Perang sebanyak tiga kali ketika bertemu Indonesia, Emiriah Arab Bersatu dan Malaysia.
Featured Image: ช้างศึก – ฟุตบอลทีมชาติไทย