Pendahulu Bundesliga 2 Ikat Bekas Penggempur Manchester City

January 23, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

FC Schalke 04 yang kini mendahului saingan Bundesliga 2 menambah pilihan di barisan serangannya dengan mengikat khidmat bekas penggempur Manchester City, Edin Dzeko.

Menerusi satu pengumuman oleh pihak kelab, penyerang kelahiran Sarajevo berusia 39 tahun berkenaan ditandatangani bagi menghadapi baki 16 perlawanan bola sepak musim 2025-26.

Bersama Schalke sepanjang tempoh itu, Dzeko yang juga merupakan pemain dengan penampilan terbanyak bersama skuad kebangsaaan Bosnia dan Herzegovina akan menyarung jersi bernombor 10.

Pada saat ini, Schalke mengungguli Bundesliga 2 dengan mengutip 38 mata daripada 18 perlawanan dan dijangka menjadi calon utama yang akan meraih promosi ke Bundesliga musim 2026-27.

Kancah bola sepak Jerman bukanlah sesuatu yang asing buat Dzeko. Namanya meraih perhatian ramai apabila menyertai VfL Wolfsburg pada musim 2007-08. Musim berikutnya, Dzeko membantu The Wolves merangkul kejuaraan Bundesliga serta muncul penjaring terbanyak Bundesliga musim 2009-10. 

Untuk makluman, Dzeko tiba di Schalke selepas separuh musim bersama Fiorentina dalam kancah Serie A.

Antara kelab lain yang pernah disertai Dzeko ialah Fenerbahce, Inter Milan, AS Roma, VfL Wolfsburg, FK Viagem, Usti nad Labem, Teplice dan Zeljeznicar.

Featured Image: FC Schalke 04

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd