FIFA Tarik Semula Sekatan Perpindahan Kelantan Red Warrior FC
Hafiz Omar

Kelab Liga A1 Semi-Pro, Kelantan Red Warrior FC kini boleh mendaftarkan pemain-pemain baharunya pada jendela perpindahan kedua yang masih dibuka sehingga 8hb Februari 2026.
Perkembangan ini hadir selepas badan induk, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menarik semula sekatan yang dikenakan terhadap kelab bimbingan Irfan Bakti itu bermula 19hb Disember lalu.
“Kelantan Red Warrior FC telah menerima surat pengesahan dari FIFA pada 22 januari 2026 memaklumkan sekatan perpindahan pemain yang dikenakan pada 19 Disember 2025 telah ditarik balik sepenuhnya.” tulis kenyataan yang dikongsikan oleh pihak kelab.
Dalam surat yang sama, FIFA menjelaskan pertanyaan kepada pihak Pol Corpas Cuatrecasa berkenaan kes tuntutan tidak dijawab menyebabkan prosiding semasa berkaitan dengan Kelantan Red Warrior FC telah ditutup dan larang pendaftaran pemain baharu telah ditarik balik secara kekal.
Terdahulu, Kelantan Red Warrior FC dikenakan sekatan perpindahan berikutan laporan dan tuntutan daripada Pol Corpas yang berkhidmat dengan Kelantan FC dengan nama julukan yang hampir sama “The Red Warriors (TRW)” pada musim 2022-23.
Kelab itu dimiliki oleh Norizam Tukiman sementara Kelantan Red Warrior FC pula merupakan sebuah kelab baharu yang ditubuhkan pada tahun 2024.
Susulan penarikan semula sekatan ini, Kelantan Red Warrior FC memberi bayangan untuk mendaftarkan pemain-pemain baharunya bagi mengharungi baki saingan musim 2025-26.