Melaka FC Dapat Khidmat Penjaga Gol England-Malaysia
Hafiz Omar
Penghuni tangga ke-12 Liga Super, Melaka FC kini mendapat khidmat penjaga gol berdarah campuran England-Malaysia iaitu Samuel Somerville untuk mengharungi baki saingan domestik musim 2025-26.
Skuad bimbingan E. Elavarasan itu mendapat khidmat penjaga gol berusia 31 tahun terbabit secara pinjaman daripada kelab gergasi Lembah Klang iaitu Selangor FC.
Penyertaan Somerville ke Melaka FC itu diumumkan sendiri oleh Selangor FC menerusi satu hantaran di pelbagai akaun media sosialnya, pada Khamis.
View this post on Instagram
Persaingan sengit posisi penjaga gol Selangor FC dilihat sebagai salah satu faktor Somerville berhijrah pada jendela perpindahan pertengahan musim kali ini.
Antara yang merebut posisi tersebut dalam kesebelasan utama Selangor FC ialah Kalamullah Al-Hafiz, Sikh Izhan Nazrel dan Azim Al Amin.
Sejak bermulanya musim 2025-26, Somerville hanya berhasil meraih dua penampilan sahaja iaitu ketika bertemu Malaysian University Football Team dalam saingan Piala FA dan PDRM FC dalam kancah Liga Super.
Featured Image: Selangor FC