Shazli Ganti Giorgio, Mula Tugas CEO MFL 1 Feb 2026

January 30, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Kekosongan kerusi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysian Football League yang ditinggalkan oleh Giorgio Pompili Rossi akan diisi oleh Mohd. Shazli Shaik berkuatkuasa 1hb Februari 2026.

Perkembangan itu hadir selepas badan pengelola pertandingan bola sepak tempatan, Malaysian Football League (MFL) mengumumkan melantik Shazli selaku CEO-nya yang baharu menerusi satu pemakluman yang dikongsikan, sebentar tadi.

Shazli ketika itu berperanan sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) dipilih selepas memangku tugas CEO sejak 3hb Mac 2025 berikutan MFL dan Giorgio memilih untuk membawa haluan masing-masing selepas berkhidmat sekitar lima bulan sahaja.

“Pengalaman dan komitmen yang ditunjukkan oleh En. Mohd Shazli sepanjang bersama MFL, khususnya ketika memangku jawatan CEO, memberi keyakinan kepada pihak Ahli Lembaga Pengarah MFL bahawa beliau adalah individu yang tepat untuk menerajui organisasi ini.” 

“Semoga pelantikan ini akan menzahirkan keyakinan bahawa kepimpinan baharu ini akan memperkukuh tadbir urus Liga Malaysia yang kini sudah memasuki pertengahan musim 2025-2026,” ujar Presiden MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan dalam pemakluman yang sama.

Untuk makluman, Shazli yang pernah beraksi sebagai pemain bola sepak skuad remaja Pulau Pinang juga merupakan Ketua Unit Pertandingan Football Malaysia Limited Liability (FMLLP) pada 2015 hingga 2018.

Sebelum itu, Shazli pernah mengetuai Unit Pertandingan FAM (2013-2014), Ketua Unit Bola Sepak NFDP, MSN (2010-2012) serta pernah berada dalam barisan pengurusan skuad kebangsaan serta pertandingan FAM (2003-2006).

Featured Image: Astro

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd