Seung-min Pemain Import Kelima Diikat Selangor FC Pertengahan Musim
Hafiz Omar

Pemain dari Republik Korea iaitu Jeon Seung-min menjadi pemain terakhir ditandatangani oleh Selangor FC pada jendela perpindahan pertengahan musim yang berakhir pada 1hb Februari, baru-baru ini.
Penyertaan pemain tengah berusia 25 tahun itu diumumkan oleh kelab berjulukan Gergasi Merah menerusi satu kenyataan di laman sesawang rasminya serta dikongsikan di pelbagai akaun media sosial rasminya pada Selasa.
Selangor FC menjelaskan Seung-min ditandatangani bagi menambah pilihan buat Kim Pan-gon di barisan tengah untuk menghadapi baki saingan Liga Super dan Kejohanan Kelab ASEAN Piala Shopee.
Menurut Seung-min, Pan-gon yang juga merupakan bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan berjulukan Harimau Malaya menjadi salah satu faktor pemain berketinggian 1.74 meter (m) itu bersetuju untuk menyarung jersi Merah Kuning.
“Barisan staf dan pemain di Selangor FC membuatkan saya merasakan ini adalah kelab yang tepat untuk saya. Jurulatih Kim juga memainkan peranan penting dalam keputusan saya, beliau merupakan seorang jurulatih yang hebat di Korea, dan saya amat berterima kasih atas peluang yang diberikan untuk menyertai pasukan ini.” katanya seperti dipetik daripada laman sesawang rasmi Selangor FC.
Sebagai rekod, ini merupakan julung kalinya Seung-min berkelana di luar negara dalam karier bola sepaknya. Sebelum ini, Seung-min memulakan karier profesionalnya bersama Seongnam FC diikuti dengan Jeonnam Dragons, Busan IPark dan FC Anyang.
Untuk makluman, Seung-min merupakan salah satu anggota skuad yang membantu FC Anyang merangkul kejuaraan Liga K2 bagi musim 2023-24.
Selain Seung-min, Selangor FC turut menandatangani Vitor Pernambuco, Kim Ji-ho, Hugo Adnan dan Mahame Siby sepanjang jendela perpindahan pertengahan musim ini.
Manakala, Safwan Baharudin dan Alex Agyarkwa yang dipinjamkan kepada Lion City Sailors FC (Liga Singapura) dan Negeri Sembilan FC masing-masing turut dipanggil semula ke pangkuan kelab.
Featured Image: Selangor FC